Thursday, November 18, 2010

RAYUAN LIMA BERADIK



GERIK, 18 Nov - Lima beradik yang kematian bapa dan kini ditinggalkan ibu sejak tujuh bulan lepas merayu pihak yang bersimpati tampil membantu mereka untuk mendapatkan MyKad bagi membolehkan mereka kembali ke sekolah.

Mereka juga merayu agar ada pihak yang sudi membantu mereka untuk menyambung belajar.


Bapa adik beradik itu, Awang Bakar Jusoh, meninggal dunia pada 2 Okt 2008 di Kuala Lumpur.


Nur Syafiqah Abdullah, 14, memiliki sijil lahir tetapi gagal mendapatkan MyKad kerana Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menganggap dia bukan warga negara, dan disebabkan tidak mempunyai kad pengenalan, dia tidak dibenarkan masuk ke tingkatan satu.


"Saya dan adik beradik berlainan bin dan binti kerana JPN kata surat nikah ibu dan ayah palsu, jadi kami diletakkan dengan bin atau binti Abdullah.


"Hanya dua adik Nur Syahidah (11 tahun) dan Muhammad Azhar (9 tahun) berbin dan berbintikan ayah iaitu Awang Bakar," katanya ketika ditemui di sini.


Berikutan gagal diterima memasuki ke tingkatan satu sejak 2009, Nur Syafiqah kini tercicir dua tahun pengajiannya dan sepanjang tempoh itu dia hanya tinggal di rumah.


Bagaimanapun menurut Nur Syafiqah dia tetap membaca buku rakan-rakannya yang bersimpati dan sering mengikuti perkembangan melalui berita di televisyen.


Menurut Nur Syafiqah sebelum itu, dia belajar di Sekolah Kebangsaan Seri Rampai di Taman Setapak Jaya, Kuala Lumpur, dari darjah satu hingga enam.


Adiknya Muhammad Aidil Fitri, 5, masih belum mempunyai sijil kelahiran.


Nur Syafiqah dan empat adiknya kini menumpang di rumah abang mereka yang berlainan ibu, Mohd Irwandi Awang Bakar, di Kampung Bersia Lama, Bersia di sini.


Mohd Irwandi, seorang nelayan kecil Tasik Banding yang hanya memperoleh pendapatan tidak seberapa, turut menanggung seorang isteri dan seorang anak.


Mereka kini tinggal di sebuah rumah yang dibina dengan bantuan penduduk kampung dan sumbangan peruntukan daripada Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Temenggor, Datuk Hasbulan Osman.


Bagaimanapun, kata Nur Syafiqah, beban yang ditanggung abangnya ringan sedikit kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Gerik membantu mereka sebanyak RM150 sebulan sejak September lepas.


Mohd Irwandi pula berkata dia terpaksa memikul tanggungjawab menjaga lima adiknya itu ibu kepada lima kanak-kanak itu bertindak menghilangkan diri.


"Saya merayu ibu tiri saya supaya kembali kepada adik bagi membantu menyelesaikan beberapa masalah yang berkaitan masa depan mareka," kata Mohd Irwandi yang boleh dihubungi di talian 019-5437025.

No comments:

Post a Comment