Sunday, October 3, 2010

PINJAMAN RM10 JUTA UNTUK KOPERASI BERDAYA SAING


BERA: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersedia meluluskan pinjaman sehingga RM10 juta dengan kadar faedah yang rendah kepada koperasi berdaya saing serta menjalankan perniagaan yang boleh memberikan keuntungan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata selain itu SKM turut memberi geran bantuan RM30,000 kepada koperasi baru bagi mengendalikan pengurusan manakala pinjaman RM50,000 dengan kadar faedah rendah akan diberi kepada koperasi untuk menjalankan perniagaan.
 
"Langkah itu sebagai membantu koperasi supaya berkembang maju serta dapat menjalankan perniagaan bagi menambah keuntungan untuk faedah ahlinya," katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra bersama pemimpin belia daerah Bera di Dataran Kerayong.
 
Ismail Sabri berkata terdapat lebih 7,000 koperasi berdaftar dengan SKM di negara ini yang menyumbangkan hasil lebih RM7 bilion setahun kepada negara dan 85 peratus daripada jumlah itu adalah koperasi mikro.
 
"Kerajaan mahu koperasi dan syarikat swasta merebut setiap peluang bagi mengembangkan lagi ekonomi negara selain menepati sasaran untuk melahirkan lebih banyak usahawan, koperasi maju dan berdaya saing," katanya.

No comments:

Post a Comment