Monday, September 27, 2010

Syawal 1431


Rumah Terbuka Aidilfitri Persatuan Anak Gerik Di Perantauan di Putrajaya, baru-baru ini, berjaya menarik kehadiran lebih 500 tetamu.

Acara yang julung kali diadakan itu turut disertai pelbagai peringkat umur khususnya generasi muda yang tinggal di sekitar Lembah Klang.

Tambah menarik apabila ia turut disertai Bekas Menteri Besar Perak yang juga Adun Pengkalan Hulu, Tan Sri Mohammad Tajol Rosli Ghazali dan Adun Temengor, Datuk Hasbullah Osman serta Adun Kenering, Tarmizi Idris.

Selain pelbagai juadah serta kuih muih, majlis yang bermula pada pukul 3 petang itu turut diserikan dengan hidangan istimewa ubi kayu rebus dan kelapa parut. 

Terima kasih kepada semua.



Monday, September 20, 2010

Salam Lebaran

Assalamualaikum warahmatuLlah wa barakatuh!

Bersempena dengan kedatangan Hari Raya Fitri ini, saya ingin mengucapkan kepada semua pengunjung blog Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (http://anakgerik.blogspot.com) ini “TaqabbalaLlah Minna wa Minkum” (semoga Allah menerima ibadah kita semua), Selamat Aidilfitri.

Saya juga mengharapkan kedatangan hari yang baik ini akan menguatkan lagi hubungan antara kita semua dan semoga kita membesarkan Allah pada hari raya ini dan bersyukur atas segala kurniaanNya..

Saya juga ingin menjemput semua sahabat dan pengunjung  pengunjung blog Persatuan Anak Gerik Di Perantauan (http://anakgerik.blogspot.com) dan sesiapa sahaja yang sudi ke majlis sambutan aidilfitri persatuan kami di alamat berikut:


Tarikh : 25 September 2009 (Sabtu)
Masa  : 2pm hingga 5pm
Lokasi: 20, 11/1, Persint 11, Putrajaya

Wednesday, September 15, 2010

Madu Dalam Ujian

Nabi Musa a.s lari meninggalkan Mesir setelah beliau terlibat dengan kejadian memukul sehingga mati seorang Qibti (Coptic) dalam usaha menghalang kezaliman perkauman terhadap Bani Israil. Tindakannya itu telah melebihi jangkaan dan itu adalah satu kesilapan. Beliau terpaksa lari menuju ke Madyan dalam keadaan yang susah.

Madyan yang dimaksudkan itu barangkali di Jordan dan saya pernah sampai berkali-kali di sana. Perjalanan dari Mesir ke sana begitu jauh bagi memastikan tentera Firaun tidak sampai ke negeri tersebut untuk menangkapnya.

Apabila sampai di Madyan, Musa a.s. mendapati sekumpulan pengembala yang sedang menceduk air, sementara di sana ada dua gadis yang hanya menunggu. Jiwa Musa a.s yang amat pantang melihat kejanggalan atau unsur ketidakadilan itu menyebabkan dia yang dalam keletihan yang teramat bertanya hal kepada kedua gadis tersebut.
Al-Quran menceritakan kejadian ini: (maksudnya)
“Dan setelah dia (Musa a.s.) menuju ke negeri Madyan, dia berdoa “Mudah-mudahan Tuhanku menunjukkan kepadaku jalan yang betul”. Dan ketika dia sampai di telaga air Madyan, dia dapati di situ sekumpulan lelaki sedang memberi minum (binatang ternak masing-masing), dan dia juga dapati di sebelah mereka dua perempuan yang sedang menahan kambing-kambingnya. Dia bertanya: “Apa hal kamu berdua?” mereka menjawab: “Kami tidak memberi minum (kambing-kambing kami) sehingga pengembala-pengembala itu membawa balik binatang ternak masing-masing; dan bapa kami seorang yang terlalu tua umurnya “. (Surah al-Qasas 22-23).
Nabi Musa a.s. tidak mampu melihat unsur penindasan dan sikap tidak membantu yang lemah. Simpatinya terhadap dua gadis tersebut melebihi keletihan yang dihadapinya ketika itu. Dia tampil dengan segala keringat yang berbaki menolong gadis-gadis tersebut mendapatkan air. Dia menolong tanpa sebarang habuan yang diharapkan.

Setelah menolong mereka, dan mereka pun pulang, Nabi Musa a.s. dalam keadaan yang teramat letih itu, pergi ke tempat yang teduh dan berdoa dengan doa yang ringkas tetapi amat dalam maksudnya. Saya tidak pasti sama ada mereka yang tidak memahami bahasa arab dapat menikmati keindahan ungkapan yang ringkas itu atau pun tidak? Namun saya akan cuba menterjemahnya dalam strukturnya.
Saya ingin membawa doa Musa a.s. untuk dikongsi bersama para pembaca yang barangkali ada yang tidak perasaan kewujudannya ketika membaca al-Quran. Juga mereka yang memang sudah tahu tetapi terlupa disebabkan kesibukan yang melanda kita dalam kehidupan sedangkan kita menghadapi suasana tenat yang amat memerlukan rahmat atau ‘kesian’ Tuhan kepada kita.
Saya ingin menyebutnya di sini kerana doa ini amat menyentuh perasaan saya. Saya percaya anda juga demikian. Entah berapa banyak keadaan getir dan runsing melanda hidup ini, doa ini salah satu ‘penyejuk perasaan’ dan pemberi harapan yang menjadi jambatan yang menghubungkan ujian hidup dengan Tuhan yang memiliki segala kehidupan.
Doa ini jika dibaca dengan jiwa yang benar-benar bergantung kepada Allah, maka saya yakin ketenangan itu hadir sebelum pertolongan Allah itu turun. Firman Allah menceritakan hal Musa a.s. dan doanya: (maksudnya)
“Maka Musa pun memberi minum kepada binatang-binatang ternak mereka, kemudian ia pergi ke tempat teduh lalu berdoa: “Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir” (Surah al-Qasas 24).
Maksud Nabi Musa a.s. beliau amat fakir atau amat memerlukan kepada apa sahaja kebaikan yang akan Allah berikan kepadanya bagi menghadapi suasana dirinya ketika itu. Dalam bahasa al-Quran yang indah al-Quran riwayatkan ucapan Musa a.s “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir”. Sangat ringkas, namun sangat bermakna. Sudah pasti ucapan asal Musa a.s dalam bahasa Hebrew, namun Allah telah merakamkan ke dalam bahasa Arab yang padat dan indah.
Ada ahli tafsir yang menyebut maksud Musa bagi perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan dalam doa ini adalah makanan. Namun, perkataan ‘khair’ atau apa sahaja kebaikan atau kurniaan Tuhan itu amat luas. Bukan sahaja makanan atau minuman, bahkan apa sahaja yang memberikan kebaikan kepada seorang insan. Musa a.s. sendiri selepas berdoa dengan doa ini diberikan limpah kurnia Allah yang berbagai, melebihi jangkaannya.
Ayat-ayat seterusnya dalam Surah al-Qasas ini menceritakan bagaimana kedua orang gadis tadi kembali semula menjemput Musa a.s. ke rumah mereka atas jemputan ayah mereka. Ayah mereka yang merupakan seorang yang mulia amat berterima kasih atas pertolongan Musa a.s. Al-Quran tidak menceritakan siapakah ayah mereka. Apakah dia Nabi Syu’aib atau orang lain tidaklah dapat dipastikan. Kemungkinan besar bukan Nabi Syu’aib seperti yang disangka oleh sebahagian penafsir.
Apa pun, Nabi Musa a.s. diberikan tempat perlindungan, makanan, kerja, bahkan dikahwinkan dengan salah seorang dari gadis tersebut. Demikian Allah memustajabkan doa Musa yang ringkas, tetapi penuh makna. Doa yang dilafazkan dari jiwa yang benar-benar tunduk, menyerah, sepenuh tawakkal dan keyakinan bahawa Allah sentiasa menyahut permohonan hamba yang benar-benar bergantung kepadaNya.
Jauh Musa a.s berjalan membawa perasaan bimbang dan bebanan ancaman oleh pihak musuh. Ujian yang memaksa dia yang membesar dalam istana menjadi pelarian tanpa bekalan. Namun dalam ujian itu Nabi Musa a.s mengalami pengalaman hidup yang hebat dan kurniaan-kurniaan yang besar. Tanpa ujian, hal ini tidak akan berlaku.
Demikian jika kita membaca doa-doa yang syahdu yang penuh menyentuh akal dan ruh yang dilafazkan oleh insan-insan soleh dalam al-Quran, samada para nabi atau selain mereka, kita dapati doa-doa itu banyak yang diungkapkan dalam keadaan getir dan ujian yang mencabar.
Kita sendiri dalam hidup barangkali tidak akan menghafaz banyak doa al-Quran dan al-Sunnah melainkan setelah kejadian-kejadian dalam hidup yang mendesak untuk kita ‘bertadarru’ atau merendah, akur dan tunduk dengan sepenuh jiwa kepada kebesaran kerajaan Allah Yang Maha Menguasai segala urusan hidup ini.

Banyak ujian hidup ini sebenarnya amat bermakna jika kita mahu menghayatinya. Betapa ramai orang yang menemui iman dan amalan soleh dek kerana ujian yang menimpanya. Berapa ramai manusia yang bersarang bongkak dan takabur dalam jiwa, tidak dapat ditegur dan dididik, tetapi akhirnya menjadi insan yang tawaduk kepada Allah dan menghargai orang lain setelah melalui ujian hidup yang getir. Betapa ramai pula insan yang soleh dan disayangi Allah dinaikkan darjat dan nilainya di sisi Allah disebabkan ujian yang menimpanya.
Firman Allah: (maksudnya)
Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut, kelaparan, kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar. (Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali. Mereka itu ialah orang dilimpahi dengan pujian dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayahNya.(Surah al-Baqarah 155-157).
Kita tidak meminta ujian, tetapi kita sentiasa perlu tahu bahawa ujian itu adalah rukun hidup. Ujian bagaikan bicara atau ‘sapaan’ Allah kepada kita agar kita ingat apa yang lupa, ubah apa yang salah, atau untuk kita tambahkan pahala dan padamkan dosa. Sabda Nabi s.a.w:
“Tiada apa pun yang menimpa seorang mukmin, sehingga duri yang mengenainya, melainkan Allah tuliskan untuknya kebaikan (pahala) dan padam dari kejahatan (dosa)” (Riwayat Muslim).
Melihat manusia yang diuji menjadikan kita rendah diri dan insaf. Mungkin dia yang dilihat oleh orang lain sedang dalam ketenatan cabaran tetapi sebenarnya sedang tenggelam dalam rahmat dan kasih sayang Tuhan. Melihat orang yang susah, mereka yang dizalimi, mereka yang kesempitan atau menderita kesakitan menyebabkan kita terlintas segera dalam perasaan “dia di sisi Allah mungkin lebih baik daripada diriku ini”.
Kita semua akan melalui ‘bicara dan didikan Tuhan’ melalui pentas ujian. Kita mengharapkan ujian akan membawa kita kepada sesuatu yang lebih baik. Ujianlah yang telah membawa Musa a.s. kepada berbagi kurniaan. Untuk itu kita wajar selalu merintih kepada Allah seperti Musa a.s.: “Rabbi inni lima anzalta ilaiya min khairin faqir” (”Wahai Tuhanku, Sesungguhnya aku ini kepada apa sahaja kebaikan yang Engkau turunkan amatlah fakir”).


Wednesday, September 8, 2010

Mesyuarat ke 2

Alhamdulillah..

Atas usaha dan komitmen semua pihak, akhirnya Persatuan Perantau Anak Gerik berjaya mengadakan mesyuaratnya yang kedua. Lebih manis, apabila mesyuarat kali ini berlangsung penuh harmoni di Putrajaya. Lebih 15 orang mengambil bahagian dalam siri kedua pertemuan ini. Mudah-mudahan, usaha mulia ini diberkati Allah swt.  Kepada pihak tuan rumah, terima kasih daun keladi, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan.


Saturday, September 4, 2010

Kisah kami

Enggang Hutan Belum

Burung enggang atau Kenyalang sering dikaitkan dengan Sarawak tetapi bagi peminat burung itu, Kompleks Hutan Belum-Temenggor di Perak merupakan tempat yang wajib dilawati.

Tarikan Enggang merupakan satu daripada pelbagai khazanah alam yang tersimpan di hutan hujan tropika itu. Sekali gus mendorong Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) berusaha menyelamatkannya.

MNS memulakan usaha melindungi hutan yang berusia lebih 130 juta tahun itu daripada musnah dalam arus pembangunan, termasuk aktiviti pembalakan, sejak ekspedisi saintifik pertama ke hutan itu pada tahun 1993.

Susulan ekspedisi itu, sebuah buku diterbitkan bagi orang ramai. Ia diikuti turuti dua buah jurnal bagi mengenal pasti spesies hidupan liar, flora dan fauna di kawasan berkenaan yang dipercayai lebih tua berbanding hutan Amazon di Amerika Selatan dan hutan Kongo di Afrika Tengah.

Presiden MNS, Datuk Seri Dr. Salleh Mohd Nor berkata, ekspedisi yang melibatkan lebih 100 saintis dengan 300 sukarelawan menemui pelbagai spesies flora dan fauna selain penemuan terbesar spesies enggang.

Salleh berkata, saintis dan sukarelawan yang menyertai ekspedisi pertama pada 1993 menemui sembilan spesies burung enggang di Belum-Temenggor.

"Pada masa itu, lebih kurang 3,000 burung enggang berterbangan di angkasa secara berkelompok dengan formasi V dan itu adalah satu pemandangan yang sukar ditemui di mana-mana," katanya.

Pada masa itu, kumpulan ekspedisi terbabit tidak menyedari bahawa enggang gunung yang ditemui sebenarnya adalah enggang belantara yang dikategorikan sebagai haiwan terancam.

"Oleh kerana penemuan terbaru tentang enggang belantara itu, maka kesemua 10 spesies enggang yang ada di Malaysia ditemui di Belum-Temenggor. Belum-Temenggor secara tidak langsung menjadi satu-satunya tempat di dunia ini di mana kita boleh menyaksikan enggang berterbangan dalam kumpulan yang besar," katanya.

Salleh berkata, habitat enggang yang bersarang di pokok besar di hutan tebal menjadikan Belum-Temenggor sebagai pilihan 10 spesies enggang untuk berada di hutan seluas 300,000 hektar itu.

Antara penelitian penting yang direkodkan MNS ialah lebih separuh daripada burung enggang itu bersarang dan membiak di bahagian Royal Belum tetapi burung itu kemudian terbang mencari makan di bahagian Hutan Temenggor.

Terletak di utara Perak dengan dikelilingi jasad air (Tasik Temenggor) yang berkeluasan 45,000 hektar, Kompleks Hutan Belum-Temenggor mempunyai keluasan 300,000 hektar iaitu kira-kira empat kali ganda besar Singapura.

Di samping menjadi kawasan tadahan hujan utama bagi Semenanjung Malaysia, Belum-Temenggor juga merupakan kediaman pelbagai spesies tumbuhan dan pokok yang melindungi lebih 274 spesies burung.

Belum-Temenggor juga mempunyai lebih 100 spesies mamalia. Ini termasuklah badak Sumatra, harimau belang, beruang madu, seladang dan menjadi tempat sekurang-kurangnya 13 spesies haiwan terancam.

Di kompleks itu juga boleh didapati tiga spesies bunga terbesar di dunia iaitu rafflesia Kerrii (paling besar), rafflesia Kantolii dan spesies terbaru, rafflesia Azlanii (yang diambil sempena nama Sultan Perak).

Secara keseluruhannya terdapat lebih 3,000 spesies pokok berbunga, 168 spesies rama-rama, 64 spesies paku-pakis, 51 spesies siput, 23 spesies ular dan 21 spesies cicak di hutan Belum-Temenggor ini.

Kompleks Hutan Belum-Temenggor secara fizikalnya terpisah dua, oleh Lebuh Raya Timur-Barat yang memisahkan Taman Negeri Royal Belum serta Hutan Simpan Temenggor. Taman Negeri Royal Belum dimasyhurkan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 2003.

Salleh berkata, MNS berharap satu koridor yang menghubungkan kedua-dua hutan itu dapat diwujudkan bagi memudahkan haiwan liar bergerak.

"Taman Negeri itu bagaimanapun hanya meliputi 117,500 hektar daripada kawasan Hutan Royal Belum seluas 132,000 hektar. Ini bermakna tinggal 14,500 hektar lagi yang masih belum diwartakan," katanya.

Katanya, Hutan Temenggor mempunyai nasib yang berlainan kerana hutan itu masih belum diwartakan sebagai taman negeri dengan aktiviti pembalakan masih berjalan.

"Kerajaan negeri sebelum ini berjanji untuk menamatkan aktiviti pembalakan pada tahun depan dan pihak MNS juga telah berjumpa dengan kerajaan negeri baru pada Jun. Secara dasarnya mereka turut bersetuju menghabiskan aktiviti pembalakan pada tahun depan," katanya.

Salleh berkata, MNS turut faham dengan masalah yang bakal dihadapi kerajaan negeri apabila aktiviti pembalakan dihentikan.

"Kami tidak meminta kerajaan negeri untuk menghentikan aktiviti pembalakan hari ini juga tetapi kami meminta pihak terbabit menghentikannya setelah segala perancangan yang dibuat sebelum ini selesai," katanya.

Beliau berkata, Belum-Temenggor bakal menjadi tarikan ekopelancongan yang terkenal di mata dunia jika dipelihara.

"Dengan tarikan pelbagai flora dan fauna dalam hutan yang berusia 130 juta tahun itu, pastinya pelancong serata dunia mahu menyaksikan sendiri keindahan dan keunikan Belum-Temenggor," katanya.

Pengunjung ke Belum-Temenggor juga boleh mendekati beberapa suku Orang Asli seperti Jahai dan Temiar yang masih menghuni hutan itu.

Royal Belum


DENGAN keluasan 300,000 hektar atau hampir empat kali keluasan Singapura, kompleks Rimba Belum di Utara Perak mempunyai dua komponen iaitu Hutan Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Temengor

Di tengah-tengahnya terletak Tasik Temengor yang diwujudkan oleh pembinaan empangan elektrik hidro TNB (dulu dikenali sebagai Lembaga Letrik Negara) pada 1975. 

Keluasan Royal Belum yang terletak di utara Lebuh Raya Timur-Barat adalah 117,500 hektar. Di sini kegiatan membalak tidak lagi dibenarkan di bawah Enakmen Perbadanan Taman Negeri Perak.


Royal Belum diwartakan sebagai Hutan Negeri pada Mei, 2007. Ia adalah antara rimba hujan tropika tertua, terbesar dan terkaya kepelbagaiannya yang masih kekal di Planet Biru kita ini. Ketika artikel ini ditulis, Royal Belum dianggar berusia 130 juta tahun.

Dengan pelbagai ciri luar biasa, kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pelancongan biasa. Lebih tepat jika ia dianggap persada pertapaan dan pengembaraan mengenal diri dan menghayati keagungan ciptaan Allah. 

Jadi, pada pandangan saya, jika anda bukan jenis yang sukakan alam semesta, kurang tahan lasak dan takut pacat serta serangga eksotik pelbagai warna dan rupa, maka kompleks rimba Royal Belum-Temengor bukanlah destinasi pilihan.

Tetapi kepada sesiapa sahaja yang mencintai alam semula jadi, kompleks rimba Royal Belum-Temengor adalah antara destinasi mutakhir yang wajib dilawati. 


Hutan rimba hujan tropika adalah sistem ekologi dan kepelbagaian biologi (bio-diversity) yang sangat menakjubkan, tetapi amat sensitif kepada pencerobohan luar, sama ada oleh manusia atau flora dan fauna dari luar.

Tumbuhan (flora) dan hidupan (fauna) dari luar boleh membinasakan flora dan fauna asal. Inilah yang sangat ditakuti agensi penguatkuasa dan aktivis alam sekitar.


Saya dimaklumkan oleh seorang pemandu pelancong bahawa ada bukti ikan tilapia telah dilepaskan atau terlepas dengan sengaja ke dalam Tasik Temengor.


Ikan tilapia, sebagai ikan jenis yang menetaskan anak dalam mulut (mouth breeder) boleh membiak dengan pantas dan bersifat omnivorous, iaitu makan daging dan tumbuh-tumbuhan.





Ciri ini menyebabkan ikan seperti tilapia menjadi ancaman kepada ikan residen seperti kelah, temoleh, sebarau, tengas dan jelawat.

Tanpa ancaman spesis yang diperkenalkan (
introduced species) seperti tilapia, ikan-ikan air tawar dan air jernih seperti disebutkan sudah pun terancam, malah mungkin pupus tanpa kawalan dan restocking, akibat tangkapan berlebihan.

Saya dimaklumkan ada peniaga luar yang secara diam-diam dan haram mengupah Orang Asli menjala dan memukat ikan-ikan ini kerana harganya yang sangat tinggi.
 
Antara projek perintis yang sedang dilakukan adalah menangkap, membiak dan melepaskan anak-anak ikan daripada spesis yang terancam ini serta menggalakkan pemancing rekreasi mengamalkan kaedah tangkap dan lepas (catch and release). 

Realitinya, haiwan paling gagah dan paling banyak makan seperti gajah dan seladang tidak akan memusnahkan Royal Belum. 


Tetapi saya sangat bimbang apabila ada kita yang merokok ketika hiking dan membuang sisa plastik di merata tempat. Api boleh memusnahkan khazanah alam pemberian Allah ini dalam sekelip masa manakala sisa plastik tidak akan hancur hingga beratus tahun.

Jadi saya cadangkan agar kompleks Royal Belum-Temengor diisytiharkan “zon bebas rokok dan plastik” serta bilangan pelawat dihadkan kepada bilangan yang boleh ditampung oleh alam semula jadi.
 
Banyak buluh dalam rimba Royal Belum. Saya cadangkan marilah kita melentur buluh dari rebungnya dengan menggesa ditubuhkan Briged Remaja Rakan Belum.  

Anggota generasi muda inilah, khasnya di kalangan orang Asli yang mendiami bio-sfera Royal Belum-Temengor, akan mewarisi rimba belantara warisan sejagat ini. Justeru, usaha menjadikan masyarakat Orang Asli sebagai pemegang saham (stakeholder). 

Sambil mempelbagaikan sumber pendapatan, Orang Asli yang arif mengenai hutan belantara boleh menjadi mata dan telinga kepada kerajaan, khasnya kepada agensi penguatkuasaan, dalam usaha menghalang pencerobahan luar.

Kesimpulannya, kita amat bernasib baik menjadi penerima anugerah Allah yang tidak ternilai harganya ini dan adalah kewajipan Fardu Kifayah kita menjaganya dengan sebaik mungkin.

Sidang Pertama

Bertempat di sebuah restoran Taman Melawati, lebih 10 anak perantauan gerik yang berada di sekitar ibu negara mengambil inisiatif turun padang berhimpun bagi membincangkan nasib serta masa depan Melayu dan Islam.

Lebih manis apabila pertemuan ini bukan sahaja berjaya mengeratkan silaturrahim malah turut mencetus idea penubuhan persatuan anak Gerik di perantauan, khusunya bagi mereka yang berada di sekitar Lembah Klang. 

Selain berhimpun dan bertukar pandangan, kerjasama yang dibina menerusi persatuan ini juga bertujuan membina jaringan selain meneroka peluang di kalangan anggotanya.